IPOH, 12 Oktober 2025 – Pasukan Robot (SCORP) ADTEC JTM dari Kampus Pasir Gudang dan Senai mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih gelaran Naib Johan dalam kategori Robot Combat 8kg dalam pertandingan UNIKL Robattle Competition 2025, yang berlangsung di Ipoh Convention Centre (ICC), Perak dari 10 hingga 12 Oktober 2025.
Pertandingan ini merupakan salah satu acara utama dalam Ekspo TVET@KKDW 2025, anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Pertandingan tersebut menghimpunkan pasukan-pasukan robotik dari institusi TVET, politeknik, dan universiti seluruh negara bagi memperlihatkan kepakaran pelajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal, elektronik, dan automasi.
Pasukan ADTEC JTM menghantar dua penyertaan dalam kategori Robot Combat 8kg iaitu SCORP ROBOTEAM dan SCORP B, melibatkan seramai tujuh orang peserta terdiri daripada empat orang pegawai dan tiga orang pelajar.
Dalam pertandingan sengit itu, SCORP B berjaya menewaskan beberapa pasukan berpengalaman dan melangkah ke peringkat akhir sebelum dinobatkan sebagai Naib Johan, manakala SCORP ROBOTEAM pula mara sehingga ke peringkat Separuh Akhir.
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Awang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dalam majlis penutupan Ekspo TVET@KKDW 2025.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan pelajar ADTEC JTM dalam menerapkan kemahiran teknikal, kreativiti serta semangat berpasukan dalam bidang robotik dan inovasi teknologi. Ia juga menjadi dorongan kepada institusi TVET lain untuk terus memperkukuh pembangunan pelajar seiring dengan keperluan industri berteknologi tinggi.
Penyertaan ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman berharga, malah memberi pendedahan sebenar terhadap dunia kompetitif dalam bidang automasi dan kejuruteraan robotik.
