Pasir Gudang, 15 Oktober 2025 – Satu majlis menandatangani kerjasama strategik telah diadakan antara Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Pasir Gudang dan Academy Darul Huffaz Johor Bahru bagi memperkukuh pembangunan latihan kemahiran dan bimbingan teknikal dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program kemahiran kerjaya Islamik (PK21).
Majlis kerjasama ini berlangsung secara rasmi di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, Johor. Ia bertujuan membentuk jaringan strategik antara institusi TVET dan institusi pendidikan Islam bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam pasaran kerja semasa.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Darul Huffaz Ustaz Mohd Nizam bin Ismail bersama pegawai pegiring dan Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts. Dr Hj Azli Amin Bin Ahmad Raus, Timbalan Pengarah Latihan, Ts. Eza Binti Monzaid serta Timbalan Pengarah Operasi, Tn. Hj. Zuraidy Bin Kadir. Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi akan:
- Menjalankan latihan kemahiran teknikal berstruktur dan modul bimbingan kerjaya Islamik.
- Menyediakan platform latihan industri dan pembangunan kemahiran TVET kepada pelajar huffaz.
- Membentuk program pembangunan insan yang menggabungkan kemahiran teknikal moden dan nilai Islamik.
- Mewujudkan jaringan khidmat teknikal dalam pelbagai bidang kemahiran untuk manfaat komuniti.
Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama ini adalah satu langkah ke hadapan dalam memperluas akses TVET kepada pelajar tahfiz dan Islamik bagi memperkukuh peluang kerjaya mereka.
Sementara itu, wakil Akademy Darul Huffaz menyatakan komitmen pihak mereka untuk memastikan pelajar huffaz bukan sahaja kuat dalam bidang agama, tetapi turut mempunyai kemahiran teknikal moden yang boleh menjamin masa depan kerjaya yang lebih mantap. Kerjasama ini diharap dapat menjadi model sinergi antara pendidikan Islam dan TVET, selaras dengan agenda negara untuk melahirkan tenaga kerja kompeten, berdaya saing serta berakhlak tinggi.
