Kg Sinaran Baru, 21 Oktober 2025 – Delegasi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) telah mengadakan Lawatan Pemantauan Projek Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) bagi menilai kemajuan serta keberkesanan pelaksanaan inisiatif Madani di peringkat komuniti dan sekolah.
Lawatan ini diketuai oleh Ts. Haji Mohd Yaser bin Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran (BPK) selaku Ketua Projek, bersama Puan Hajah Nor Lisa Rahmat, Ketua Unit Jalinan Industri merangkap Urusetia Projek. Turut hadir ialah Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai, Ts. Dr. Haji Azli Amin bin Ahmad Raus, bersama pegawai-pegawai ADTEC.
Dalam sesi lawatan, En. Muhammad Rizal bin Rahmat, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) selaku wakil pelaksana projek, telah menyampaikan taklimat berkenaan kemajuan, pencapaian semasa serta cabaran pelaksanaan projek KAM dan SAM di Kampung Sinaran Baru. Taklimat turut merangkumi langkah penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan projek menepati objektif dan garis panduan yang ditetapkan.
Lawatan ini menjadi medan penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang berjalan dengan teratur, memenuhi spesifikasi teknikal dan menyokong matlamat utama inisiatif Madani — memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi latihan kemahiran, komuniti setempat, dan sekolah dalam melahirkan masyarakat berdaya saing dan sejahtera.
JTM komited untuk meneruskan pemantauan berterusan bersama ADTEC dan komuniti dalam memastikan Projek KAM dan SAM terus menjadi model pembangunan komuniti Madani yang mampan dan inklusif.
