Pasir Gudang, 22 Oktober 2025 – Satu Kursus Baja Kompos telah dianjurkan oleh Jawatankuasa ESG ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk kesedaran terhadap amalan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga kerja. Kursus ini telah disampaikan oleh Ts. Mohd Zulaffandi bin Abdullah dari IKBN Pekan, seorang penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang penghasilan baja kompos serta penerima pelbagai anugerah berkaitan inovasi pertanian dan pengurusan sisa organik.
Tujuan utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah penghasilan baja kompos menggunakan bahan buangan organik seperti sisa makanan yang sesuai, di samping menggalakkan amalan mesra alam dalam pengurusan sisa pepejal. Sepanjang sesi, peserta didedahkan dengan topik seperti pengenalan kepada baja kompos, bahan yang sesuai digunakan, langkah-langkah penghasilan kompos, penjagaan serta tempoh matang baja. Turut diadakan ialah demonstrasi praktikal, di mana peserta berpeluang menghasilkan sendiri baja kompos secara berkumpulan.
Turut serta sebagai peserta kursus ini ialah Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, serta semua barisan staf yang menunjukkan minat dan komitmen tinggi sepanjang kursus berlangsung. Melalui penganjuran Kursus Baja Kompos ini, diharapkan warga kerja ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam aktiviti hijau kampus serta menjadikan amalan penghasilan baja kompos sebagai langkah kecil ke arah gaya hidup yang lebih lestari.
