07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 22 Oktober 2025 – ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Projek Pemasangan Sistem Solar bagi memastikan pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui ini berjalan dengan lancar, teratur dan menepati perancangan yang telah ditetapkan.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, bersama wakil syarikat pelaksana, Milab Sdn. Bhd., yang diwakili oleh Encik Mohd Fareqdzul Naim bin Datuk Haji Abd Lah (Pengurus Operasi), Encik Eqmal Mirza Elias (Jurutera Projek), serta Encik Muhd Arif Farhan bin Norhisham (Jurutera Projek).

Projek pemasangan sistem solar berkapasiti 428.42 kWp, melibatkan sebanyak 691 keping panel solar, dijadualkan bermula pada 10 November 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 7 Disember 2025. Pemasangan akan dilaksanakan di bumbung bangunan utama kampus serta kawasan tempat letak kereta berbumbung, bagi memaksimumkan kecekapan penjanaan tenaga.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dalam memperkukuh agenda kelestarian tenaga dan pengurangan jejak karbon di institusi latihan di bawah seliaannya. Melalui pelaksanaan projek ini, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dijangka dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik konvensional serta meningkatkan kesedaran terhadap amalan tenaga hijau.

Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada aspek teknikal, keselamatan, dan perancangan kerja sepanjang tempoh pemasangan, bagi memastikan semua aktiviti dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan serta menepati jadual pelaksanaan projek.

JTM komited untuk terus menerajui inisiatif tenaga boleh diperbaharui di semua institusi latihan di bawahnya, seiring dengan aspirasi kerajaan ke arah pembangunan lestari dan teknologi hijau menjelang tahun 2030.

Skip to content