07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pada 29 Oktober 2025 (Rabu), telah berlangsung dengan jayanya Program RED FLAG: Cinta Tidak Boleh Redah bertempat di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan menjaga batas pergaulan serta memahami kesan buruk pergaulan bebas dan zina terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

Penganjuran program ini turut mengambil kira perkembangan kes-kes sosial dan moral yang semakin membimbangkan dalam negara mutakhir ini, khususnya melibatkan golongan muda. Justeru, usaha sebegini amat penting sebagai langkah pencegahan awal bagi membentuk generasi yang berprinsip, bermaruah dan berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.

Menariknya, program ini bukan sekadar ceramah semata-mata, tetapi turut memberi peluang kepada para pelajar untuk melontarkan pandangan dan berkongsi pendapat tentang isu cinta, batas pergaulan serta cabaran mengawal nafsu dalam dunia moden. Pendekatan interaktif ini menjadikan suasana program lebih segar dan menyentuh hati kerana para peserta sendiri terlibat secara langsung dalam perbincangan.

Sepanjang sesi, peserta dibimbing untuk mengkaji punca berlakunya gejala zina dan pergaulan bebas, di samping diberi kefahaman tentang bagaimana Islam menegah perbuatan tersebut. Penceramah turut mengetengahkan petikan-petikan daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menekankan larangan mendekati zina serta pentingnya menjaga kehormatan diri dan maruah keluarga.

Menariknya, di penghujung program, para peserta telah diajar “cara merawat diri” agar terhindar daripada lembah maksiat, termasuk doa-doa yang diajar oleh Nabi SAW untuk memohon perlindungan daripada godaan syaitan dan hawa nafsu, serta kaedah mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Pengisian ini memberi kesan mendalam kepada peserta kerana ia bukan sekadar teori, tetapi amalan praktikal dalam mendidik jiwa dan menjaga hati.

Secara keseluruhannya, Program RED FLAG: Cinta Tidak Boleh Redah berjaya membuka minda dan hati para peserta untuk memahami erti cinta yang sebenar — cinta yang berpaksikan iman, berlandaskan syariat, dan membawa kepada keberkatan hidup. Program ini diharap menjadi titik tolak kepada pembentukan generasi muda yang soleh, profesional, dan berakhlak tinggi.

Skip to content