Pada 30 Oktober 2025 (Khamis), telah berlangsung satu program kemahiran bertajuk “SKILL UP: Bengkel Asas Kipas Elektrik” yang bertempat di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kemahiran asas dalam bidang elektrik dalam kalangan pelajar.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh En. Khairul Azeem bin Abdul Aziz, yang berpengalaman luas dalam bidang penyelenggaraan elektrik. Dalam sesi ini, beliau telah berkongsi ilmu dan kemahiran asas mengenai cara mendiagnosis masalah kerosakan kipas elektrik serta langkah-langkah membaikinya dengan betul dan selamat.
Matlamat utama bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang cara mengenal pasti punca kerosakan yang sering berlaku pada kipas elektrik, selain membimbing mereka dalam melaksanakan proses pembaikan secara praktikal. Peserta turut diberi peluang melakukan aktiviti secara hands-on di bawah bimbingan penceramah.
Sepanjang bengkel dijalankan, para peserta menunjukkan minat dan kesungguhan yang tinggi. Suasana menjadi lebih bermakna apabila setiap peserta berpeluang mencuba sendiri teknik pembaikan asas dan bertanya secara terus kepada penceramah. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada pelajar, malah meningkatkan keyakinan mereka dalam bidang kemahiran elektrik.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada En. Khairul Azeem bin Abdul Aziz atas kesudian beliau berkongsi ilmu, serta kepada semua peserta yang terlibat menjayakan program ini. Diharapkan penganjuran seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha memperkukuh kemahiran pelajar sejajar dengan aspirasi TVET Malaysia dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.
