Pada 31 Oktober 2025, aktiviti Kawad Hos Operasi anjuran Unit Kokurikulum Briged Bomba dan Penyelamat telah berlangsung dengan penuh semangat dan kerjasama daripada semua peserta. Latihan ini dikendalikan oleh En. Mohamad Ridzuan bin Kasnaini, pegawai insiden ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, sebagai tenaga pengajar utama, dibantu oleh En. Mohamad Nazreen bin Mohd Kamal dan Cik Siti Suraya Hani binti Mohd Juar.
Seramai 79 orang pelajar semester 1 dari Teknologi Automotif, Teknologi Pembuatan Pemesinan dan Teknologi Pembuatan Perkakasan telah mengambil bahagian dalam aktiviti ini yang bertujuan untuk memberi pendedahan asas tentang cara menggunakan hos bomba dengan betul, termasuk teknik sambungan hos dan cara mengawal pancutan air semasa operasi.
Sepanjang latihan, pelajar menunjukkan semangat yang tinggi dan saling bekerjasama dalam kumpulan. Mereka bukan sahaja belajar kemahiran teknikal, tetapi juga nilai disiplin, tanggungjawab dan kerja berpasukan yang penting dalam tugasan sebenar. Aktiviti ini berjalan dengan lancar dan menyeronokkan, malah ramai peserta memberi maklum balas positif kerana berpeluang merasai pengalaman sebenar sebagai anggota bomba. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam membentuk pelajar yang lebih berdisiplin, cekap dan berkeyakinan tinggi.
