07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 31 Oktober 2025 – Sebagai sebahagian daripada inisiatif kesejahteraan warga kerja, Kelab Sukan dan Kebajikan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai melalui Biro Sukan telah menganjurkan Sesi Perkongsian β€œJourney to Lose Weight” sempena Program Keep Fit and Fabulous 2025. Program ini bertujuan memberi inspirasi serta membina kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan pengurusan berat badan secara berkesan.

Sebelum sesi perkongsian bermula, aktiviti penimbangan berat badan dan pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI) telah dijalankan bagi semua peserta sebagai langkah awal untuk menilai status kesihatan dan menetapkan sasaran penurunan berat badan masing-masing. Aktiviti ini turut memberi peluang kepada peserta memahami tahap kesihatan diri serta kepentingan pemantauan berkala sepanjang tempoh cabaran dua bulan ini.

Sesi perkongsian menampilkan Dr. Asha Hasnimy binti Mohd Hashim, Pensyarah Kanan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, yang berkongsi pengalaman peribadi beliau dalam menurunkan berat badan serta perjalanan transformasi kesihatan yang memberi inspirasi kepada para peserta. Beliau turut berkongsi strategi praktikal seperti pemilihan makanan sihat, pengurusan kalori, rutin senaman ringan dan disiplin diri, yang menjadi kunci kejayaan dalam mencapai berat badan ideal.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada aspek psikologi dalam proses penurunan berat badan, termasuk cara membina motivasi dalaman, mengekalkan konsistensi serta mengurus cabaran dan tekanan harian. Sesi yang berlangsung dalam suasana santai dan interaktif ini dipenuhi dengan semangat positif serta sokongan rakan sekerja yang saling memberi dorongan antara satu sama lain.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, bersama barisan staf yang aktif menyokong pelaksanaan program kesihatan ini.

Melalui pelaksanaan Program Keep Fit and Fabulous 2025 yang berlangsung selama dua bulan ini, diharapkan warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai dapat menjadikan kesihatan dan keseimbangan hidup sebagai keutamaan, serta melihat perjalanan menurunkan berat badan bukan sekadar cabaran fizikal, tetapi langkah kecil ke arah kesejahteraan menyeluruh (holistic wellbeing).

Skip to content