Kampung Sri Aman, 1 November 2025 – Program TVET On-Job Training (OJT) di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani telah dijalankan dengan jayanya di Surau Kampung Sri Aman, Skudai.
Program ini melibatkan 10 orang peserta yang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang penyelenggaraan dan pembersihan penyamanan udara (aircond). Latihan dikendalikan oleh dua tenaga pengajar berpengalaman iaitu En. Mohd Qayyum bin Mohd Khalid dan En. Rahmat bin Abu Taib.
Aktiviti bermula pada jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi, memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal secara praktikal di lapangan sebenar. Program ini bukan sahaja membantu peserta meningkatkan kemahiran teknikal dalam bidang penyelenggaraan penyamanan udara, malah menyemai semangat gotong-royong serta kepedulian terhadap kemudahan komuniti setempat.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pelaksanaan TVET OJT (On-Job Training) sebagai platform latihan berasaskan pengalaman sebenar di tempat kerja, selaras dengan matlamat Kampung Angkat Madani dalam melahirkan masyarakat berkemahiran dan berdaya saing.
