Sinaran Baru, 2 November 2025 – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai telah berjaya melaksanakan Karnival Sukan Rakyat dan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani bertempat di Balai Raya Kampung Sinaran Baru, Kempas pada hari ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani (KAM), selaras dengan aspirasi YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024, bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar melalui pendekatan Whole of Government.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, dan turut dihadiri oleh Pengarah-pengarah Bahagian JTM, Pengarah Institut Latihan JTM (ILJTM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), warga ADTEC, serta komuniti setempat.
Inisiatif di bawah Program Kampung Angkat Madani. Pelaksanaan program ini telah menyaksikan pelbagai usaha menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam oleh warga ADTEC JTM Pasir Gudang dan Senai, termasuk:
- Menaiktaraf Balai Raya Kampung Sinaran Baru yang dijadikan pusat perpindahan sementara.
- Menurap jalan di kawasan kampung.
- Menaiktaraf sistem longkang bagi mengelakkan banjir kilat.
- Membina balai serbaguna berbumbung dengan gelanggang badminton/takraw di Kampung Tawakal.
- Melaksanakan projek peningkatan keselamatan di dua jalan utama yang dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan.
Selain itu, aktiviti latihan pelajar di bawah projek KAM-TVET OJT turut dijalankan, meliputi:
i. Pemasangan lampu jalan solar tenaga diperbaharui di Balai Raya Kg. Sinaran Baru dan sepanjang Jalan Kg. Tawakal.
ii. Pemasangan dan penyelenggaraan sistem penyaman udara (aircond) serta kawalan IoT di Balai Raya Kg. Sinaran Baru.
iii. Pemasangan sistem CCTV berasaskan IoT dan penyimpanan awan bagi pengawasan 24 jam di Balai Raya Kg. Sinaran Baru dan Kg. Tawakal.
iv. Pemasangan sistem elektrik 3 fasa di kedua-dua lokasi.
v. Reka bentuk dan pembinaan bot serbaguna berskala 15’ x 4.5’ serta sistem towing dan loader untuk kegunaan Kg. Baru Sri Aman dan kawasan rangkaian.
Sempena karnival Karnival Sukan Rakyat tersebut, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan telah disediakan untuk komuniti setempat, antaranya:
• Perkhidmatan JPJ Mobile,
• Tapak jualan gerai & Jualan Rahmah,
• Pameran TVET oleh Kursus Teknologi Elektronik Industri dan Teknologi Rekabentuk Produk Industri,
• Perkhidmatan Pakej Travel Irkaz Ez Go,
• Servis penukaran minyak hitam motor percuma oleh pengajar dan pelajar Kursus Teknologi Automotif ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Selain itu, pelbagai acara sukan rakyat seperti tarik tali, lari dalam guni, pertandingan tradisi, futsal, sukaneka dan pertandingan mewarna turut diadakan, dengan penyertaan aktif daripada komuniti kampung serta warga ADTEC. Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Jabatan Tenaga Manusia kekal komited dalam memperkasa pembangunan kemahiran sumber manusia melalui jaringan komuniti strategik. Program ini membuktikan peranan penting institusi latihan teknikal dalam membina jalinan kolaborasi bersama masyarakat, ke arah pembangunan komuniti yang inklusif, sejahtera dan berkemahiran tinggi.
