Kg Maju Jaya, 2 November 2025. Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat Madani telah diadakan dengan jayanya pada 2 November 2025 di Sekolah Agama Kg Maju Jaya dan Sekolah Kebangsaan Kg. Maju Jaya. Majlis penyerahan ini telah disempurkan Yang Berbahagia Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, dan turut dihadiri oleh Pengarah-pengarah Bahagian JTM, Pengarah Institut Latihan JTM (ILJTM), , warga ADTEC JTM, serta komuniti setempat. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Sekolah Angkat Madani yang berteraskan kerjasama antara institusi pendidikan, komuniti setempat dan agensi pelaksana dalam usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur sekolah serta meningkatkan kesejahteraan warga pendidik dan pelajar.
Dua buah sekolah di bawah inisiatif Sekolah Angkat Madani telah menerima manfaat melalui pelaksanaan projek seperti berikut:
- Sekolah Agama Kampung Maju Jaya yang melibatkan 1 skop iaitu :
- Projek: Naik taraf susur gajah bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan murid serta guru ketika pergerakan di kawasan sekolah.
- Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya yang melibatkan 2 skop iaitu :
- Projek 1: Naik taraf sistem penghawa dingin di bilik guru bagi mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif.
- Projek 2: Penyelenggaraan pentas utama Dewan Sejaya bagi memastikan kemudahan dewan dapat terus digunakan dengan baik untuk aktiviti dan program sekolah.
Kesemua projek ini telah dilaksanakan dengan kerjasama erat antara Badan Kebajikan Sekolah Agama Kampung Maju Jaya dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya, yang memainkan peranan penting dalam menyokong kelancaran serta pemantauan kerja di peringkat sekolah.
Pelaksanaan kerja dijalankan sepenuhnya oleh pihak kontraktor yang dilantik, dengan pemantauan rapi bagi memastikan mutu kerja menepati piawaian dan tempoh masa yang ditetapkan.
Program ini mencerminkan semangat Madani yang menekankan nilai kolaborasi, tanggungjawab sosial dan kesejahteraan bersama. Melalui pendekatan ini, usaha menaik taraf kemudahan pendidikan bukan sahaja meningkatkan keselesaan warga sekolah, tetapi juga memperkukuh hubungan strategik antara sekolah, komuniti dan agensi pelaksana dalam membentuk ekosistem pendidikan yang harmoni dan progresif.
