Senai, 3 November 2025 – Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Tenaga Manusia bagi bulan November 2025 telah berlangsung dengan jayanya di ADTEC JTM Kampus Senai. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, yang turut menyampaikan amanat kepada semua warga JTM. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan budaya kerja berintegriti dan semangat berpasukan sebagai tunjang kecemerlangan organisasi dalam mendepani cabaran semasa. Beliau turut menegaskan peranan Jabatan Tenaga Manusia sebagai peneraju dalam melahirkan graduan TVET yang berketerampilan, berdaya saing dan relevan dengan kehendak industri masa kini.
Majlis kali ini turut menyaksikan beberapa pengisian bermakna, antaranya Perasmian Taman Lestari dan Acara Tanam Pokok sebagai simbol komitmen JTM terhadap agenda kelestarian alam sekitar. Selain itu, turut diadakan Sesi Perkongsian Industri bertajuk “Peranan JTDC Dalam Industri” yang disampaikan oleh Yang Berusaha En. Hilmy bin Hj. Hussain, Ketua Penyelaras Johor Talent Development Council (JTDC). Perhimpunan ini turut menjadi detik bersejarah dengan Pelancaran Logo ADTEC JTM sempena Penjenamaan Semula ILJTM, hasil ciptaan Encik Azhar bin Ahmad Zaki, Penolong Pegawai Latihan Vokasional dari ADTEC JTM Kampus Kuantan.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan Majlis Penyerahan Buku Prosedur Operasi Standard (SOP) JTM kepada Ts. Noor Ariffin bin Mohd Ariff @ Haris, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan (BPL), selaku Ketua Penyelaras Penerbitan Buku SOP JTM. Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada Pasukan Robot (SCORP) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai yang berjaya meraih Naib Johan kategori Robot Combat 8kg dalam UNIKL Robattle Competition 2025 yang diadakan di Ipoh Convention Centre, Perak. Sebagai tanda penghargaan, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Yang Berusaha Ts. Dr. Haji Azli Amin bin Ahmad Raus, turut menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pengarah JTM.
Perhimpunan diakhiri dengan sesi bergambar, tayangan video aktiviti kampus serta alunan lagu tema ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai yang menutup majlis dengan suasana penuh semangat dan kebersamaan. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Semoga momentum kecemerlangan ini terus menjadi pemangkin kepada Jabatan Tenaga Manusia dalam memperkukuh peranan sebagai peneraju pembangunan modal insan TVET yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan selaras dengan aspirasi negara.
