Pada 4 November 2025 (Selasa), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai telah berjaya menganjurkan satu program khas bertajuk “Next Chapter: Inspirasi Alumni” bertempat di Surau ADTEC Senai. Program ini bertujuan memberi inspirasi dan dorongan kepada para pelajar melalui perkongsian pengalaman daripada bekas pelajar yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.
Program ini menampilkan Encik Khairulnizam bin Zainal Abidin, Tokoh Alumni ILJTM 2012, yang merupakan alumni ILP Pasir Gudang sesi 2/1998 dalam Kursus Elektronik Perindustrian. Beliau kini berkhidmat sebagai Department Manager, Facilities Maintenance Department di Instruments Technology (Johor) Sdn. Bhd.
Dalam perkongsiannya, Encik Khairulnizam menekankan kepentingan disiplin, kejujuran, dan sikap tidak mudah berputus asa dalam mengejar kejayaan. Beliau turut berkongsi bagaimana pengalaman di ILP menjadi batu loncatan dalam membina kerjaya yang kukuh dan berdaya saing di industri.
Program yang berlangsung hampir dua jam ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pelajar. Suasana penuh semangat dan inspirasi jelas dirasai apabila peserta diberikan peluang bertanya dan berinteraksi secara langsung bersama tokoh alumni.
Menurut wakil MPP, program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelajar dan alumni ILJTM, tetapi turut membuka minda pelajar tentang potensi besar bidang kemahiran dalam dunia pekerjaan sebenar.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan serta sesi fotografi kenangan. Diharapkan program ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif perkongsian alumni yang mampu menyuntik semangat kepada pelajar untuk melangkah ke “bab seterusnya” dalam kehidupan dengan keyakinan dan jati diri tinggi.
