Pada 5 November 2025, Surau Al-Mawaddah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai telah diserikan dengan pelaksanaan Program Q-Armor: Majlis Bacaan Manzil dan Perlindungan Diri. Program ini diadakan sebagai satu usaha membina kekuatan rohani serta memohon perlindungan daripada Allah SWT melalui amalan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa pembuka majlis diikuti dengan bacaan ayat-ayat Manzil secara beramai-ramai yang berlangsung dalam suasana tenang dan penuh penghayatan. Setiap peserta menadahkan tangan memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada segala bentuk kejahatan, gangguan zahir dan batin.
Selain bacaan Manzil, turut diadakan tazkirah ringkas yang memberikan pencerahan tentang kepentingan menjadikan amalan rohani sebagai benteng diri dalam kehidupan seharian. Program ini turut menggalakkan para pelajar agar sentiasa mendekatkan diri kepada Al-Quran dan menjadikannya panduan dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Majlis diakhiri dengan jamuan ringan yang mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar dan warga kampus. Secara keseluruhannya, Q-Armor berjaya mewujudkan suasana yang menenangkan jiwa serta menyemai kesedaran rohani dalam kalangan warga ADTEC.
