Tanjung Langsat, 5 November 2025 – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui institusi latihan di bawahnya terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh hubungan strategik bersama industri apabila satu lawatan rasmi telah diadakan ke EEW Malaysia Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengeluar struktur keluli dan paip industri yang beroperasi di Tanjung Langsat, Johor.
Lawatan ini diketuai oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Shah Alam, Puan Hajah Zuraini binti Muda, bersama barisan Pengarah-pengarah Ibu pejabat JTM serta Pengarah-pengarah ADTEC JTM dari seluruh Malaysia. Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh Dr. Thorsten Petermann, Ketua Pegawai Eksekutif EEW Malaysia; Mr. Frederik Meuskens, Pengurus Kejuruteraan Projek Komersial dan Puan Halimah binti Mohd Ali, Pengurus Sumber Manusia, bersama barisan pengurusan kanan syarikat.
Sepanjang lawatan, para delegasi diberi taklimat korporat mengenai latar belakang dan operasi EEW Malaysia, diikuti lawatan ke tapak operasi bagi meninjau proses pengeluaran serta pelaksanaan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan di fasiliti tersebut.
Dalam ucapan alu-aluan, Puan Hajah Zuraini binti Muda menyatakan bahawa lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JTM untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan rakan industri dalam memperkasa pelaksanaan program TVET yang relevan dengan keperluan pasaran kerja.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada potensi projek bersama dalam bidang penyelidikan dan inovasi, khususnya dalam fabrikasi logam serta teknologi kimpalan, yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan tenaga mahir negara.
Dengan jalinan yang semakin kukuh ini, JTM dan EEW Malaysia dijangka akan meneroka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa hadapan yang bakal memberi manfaat besar kepada pelajar, tenaga pengajar dan komuniti industri secara keseluruhan.
