07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

PASIR GUDANG, 6 November 2025 – Karnival Kerjaya TVET 2025 dan Majlis Peluncuran JTM-KUMAI Welding Academy telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Kuliah Utama, Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC) JTM Kampus Pasir Gudang. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JTM, YBhg. Datuk Rospiagos bin Taha, dalam satu acara yang menghimpunkan lebih 38 buah sekolah,12 institusi latihan TVET, agensi kerajaan dan rakan industri industri.

Program anjuran JTM dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) ini merupakan usaha strategik memperkukuh latihan kemahiran dan memperluas kolaborasi industri, selaras dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai hab perindustrian dan teknologi tinggi yang mampan. Peluncuran JTM-KUMAI Welding Academy di ADTEC JTM Pasir Gudang merupakan antara inisiatif bersepadu memperkukuh ekosistem TVET negara, khususnya dalam bidang kimpalan yang kini menjadi keperluan kritikal di peringkat nasional dan antarabangsa. Akademi ini dilengkapi dengan 24 welding bay, peralatan terkini dan ruang pembelajaran berkonsepkan industri sebenar hasil kerjasama strategik bersama Refzen (M) Sdn. Bhd.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara JTM dan REFZEN (M) Sdn. Bhd., serta pertukaran nota kerjasama pintar bersama 16 buah industri, agensi dan pusat latihan iaitu, SERIMAX Welding Services Malaysia Sdn. Bhd., EEW Malaysia Sdn. Bhd., FERUM Technical Sdn. Bhd.,Pelabuhan Tanjung Pelepas, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor, Johor Talent Development Council (JTDC) , Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Johor Skills Development -JSDC, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, TWI Services, Globe Tech Services, Academy Darul Huffaz Johor, INTAKE Jawahir, Pusat Pendidikan Hidayah)dan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM).

Antara program utama yang diketengahkan termasuk penyerahan geran peralatan berjumlah RM 289,888.00 oleh SMI Negeri Johor kepada pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai berupa sebuah Soldamatic Augmented Reality Training Technology for Welding yang bernilai RM 186,888.00 dan 5 buah PLC Training System bernilai RM 103,000.00. Selain itu juga sumbangan turut diterima daripada pihak Petronas berupa keperluan latihan dalam bentuk bahan guna habis bagi Bengkel Kimpalan, Bengkel Fabrikasi Struktur Logam dan Program Vista i-Plus. Syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) turut menyumbangkan 19 tan besi dan elektrod untuk digunakan sebagai bahan latihan pelajar di Bengkel Teknologi Kimpalan di ADTEC JTM Pasir Gudang.

Majlis Penyerahan Tawaran Pekerjaan Bergaji Premium juga diadakan kepada graduan terpilih yang bakal menikmati gaji premium ini dengan nilai minimum sebanyak RM 3,000.00. Dua syarikat terlibat iaitu Serimax Welding Services Malaysia Sdn Bhd, daripada Encik Izzad Bin Ishak, Industrial Site Manager yang telah menyerahkan surat tawaran gaji premium tersebut kepada Saudara Mohd Syawal bin Sudin serta penyerahan surat tawaran tersebut oleh Pengurus Jurunature Johor, Haji Muzakir bin Zoriat kepada Saudara Syarifuddin Syah Bin Ahmad yang kedua-duanya merupakan graduan ADTEC JTM Pasir Gudang.

Karnival Kerjaya TVET 2025 turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan dron, simulasi kimpalan, TVET Tour & Open Day, forum dan podcast teknikal, pameran KESUMA, pertandingan kimpalan ADTEC JTM-KUMAI, karnival keusahawanan, pemeriksaan kesihatan dan gigi, jualan Rahmah, pertandingan mewarna serta pameran promosi TVET yang mendapat sambutan 2400 orang pengunjung. Diharapkan dengan adanya program ini dapat memartabatkan serta memperkasakan lagi latihan kemahiran TVET di peringkat global.

Skip to content