PASIR GUDANG, 6 November 2025 – Program Pameran Kerjaya telah diadakan dengan jayanya di dalam khemah Booth Kerjaya, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini merupakan sebahagian daripada Karnival TVET 2025 dan Majlis Peluncuran JTM-KUMAI Welding Academy, yang menghimpunkan 21 pempamer dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan KESUMA.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program antaranya perkongsian perkhidmatan dan temuduga terbuka oleh agensi dan syarikat industri, pemeriksaan pergigian dan kesihatan percuma, pameran interaktif, serta perkongsian kerjaya bersama pelajar dan pengunjung. Selain itu, turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak Tabika Air Biru 2 yang melibatkan 40 orang peserta. Suasana dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah dan kuiz ringkas sebagai daya tarikan pengunjung. Program ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang awam, pelajar sekolah serta bakal graduan yang hadir mendapatkan maklumat dan peluang latihan dan kerjaya.
Secara keseluruhannya, Pameran Kerjaya dan Kesuma 2025 berjaya memberi pendedahan laluan pendidikan dan potensi kerjaya dalam bidang TVET kepada masyarakat, memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi latihan dan industri serta menonjolkan peranan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang sebagai institusi latihan kemahiran yang proaktif dan berdaya saing.
