Senai, 3 – 5 November 2025 – Mesyuarat Ketua Pengarah JTM Bersama Pengarah-Pengarah ADTEC JTM Bilangan 6 Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 3 hingga 5 November 2025 bertempat di ADTEC JTM Kampus Senai. Program ini dianjurkan oleh ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai bersama Bahagian Penyelidikan & Perancangan Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
Mesyuarat yang disertai oleh Pengarah-Pengarah Bahagian dari Ibu Pejabat JTM serta 33 Pengarah ADTEC JTM seluruh Malaysia ini telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia. Penganjuran mesyuarat ini bertujuan memperkukuh hala tuju strategik, penyelarasan pelaksanaan program TVET, serta memperkasakan tadbir urus institusi latihan di bawah JTM.
Program bermula dengan Perhimpunan Bulanan JTM bersama warga kampus serta lawatan rasmi ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bagi meninjau pembangunan logistik dan peluang kerjasama strategik.
Hari kedua mesyuarat memberi tumpuan kepada pembentangan pelbagai bahagian utama di JTM, antaranya Bahagian Perancangan & Penyelidikan, Bahagian Pengurusan Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Unit Jalinan Industri. Pembentangan tersebut memfokuskan sasaran peningkatan kualiti latihan, pembangunan tenaga pengajar, dan strategi memperkukuh hubungan industri.
Selain itu, sesi Perkongsian Pengalaman Antarabangsa oleh beberapa pengarah kampus turut memberi nilai tambah dalam memperluaskan perspektif global dalam pengurusan TVET. ADTEC JTM Kampus Senai turut membentangkan model kepimpinan institusi yang di wakili oleh Ts. Eza binti Monzaid (Timbalan Pengarah Latihan) dan Ustaz Mohammad Ariff Afdlin bin Faizan (Jabatan Akademik dan Pembangunan Insan).
Pada hari terakhir, satu Sesi Jalinan Industri bersama Syarikat EEW di Tanjung Langsat telah diadakan bagi tujuan mengenalpasti keperluan kompetensi terkini serta teknologi selaras dengan kehendak sektor pekerjaan.
Program sebegini ini amat penting dalam memastikan JTM kekal relevan dan progresif dalam melahirkan tenaga kerja mahir berkualiti tinggi. Kerjasama erat antara kampus, industri dan ibu pejabat merupakan tunggak kepada kejayaan sistem latihan kemahiran negara.
