07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Senai, 15 November 2025 – Kem Keselamatan dan Pertolongan Cemas Peringkat ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai Tahun 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan jayanya setelah berlangsung selama dua hari, bermula 14 hingga 15 November 2025. Program penuh berinformasi dan berimpak tinggi ini turut mendapat kerjasama fasilitator dari Pasifik Selatan dan diadakan di Hangar serta Dewan Sri Johor, ADTEC JTM Kampus Senai. Kehadiran para pelajar dari kedua-dua kampus dari Kursus Teknologi Juruelektrik, Teknologi Instrument Perindustrian, Teknologi Elektronik Industri dan Teknologi Rekabentuk Produk Industri mewujudkan suasana pembelajaran yang dinamik, dengan fokus memperkukuhkan ilmu keselamatan dan meningkatkan kecekapan memberikan bantuan kecemasan dengan lebih yakin dan terlatih.

Penganjuran kem ini menyasarkan agar setiap peserta menguasai teknik pertolongan cemas secara tepat, berkesan dan sistematik. Dalam masa yang sama, program ini turut menanam kesedaran mendalam mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri serta mereka di sekeliling, seterusnya memupuk rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan komuniti.

Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta didedahkan dengan pelbagai latihan praktikal, sesi teori dan simulasi kecemasan yang realistik. Penglibatan aktif dalam setiap aktiviti bukan sahaja menguji daya ketangkasan dan ketenangan peserta, tetapi turut mengukuhkan semangat kerjasama, kepimpinan serta kebolehan berpasukan dalam situasi mencabar di lapangan.

Selain itu, kem ini berperanan membuka mata peserta terhadap kepentingan ilmu pertolongan cemas sebagai salah satu keperluan asas dalam membantu masyarakat. Nilai kemanusiaan yang diterapkan diharap mampu menyuntik inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan serta usaha kemasyarakatan pada masa akan datang.

Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus juga sempat meluangkan masa bersama-sama pelajar dari Kampus Pasir Gudang untuk memberikan kata-kata semangat sebelum mereka bertolak ke Kampus Senai bagi memulakan sesi kem sekaligus kehadiran beliau turut menyuntik semangat dan motivasi tambahan kepada para peserta.

Program ini juga turut menerima sokongan padu daripada Pengurusan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai yang menyediakan fasiliti serba lengkap, memastikan kelancaran setiap sesi dan keselesaan peserta sepanjang program.

Secara keseluruhannya, Kem Keselamatan dan Pertolongan Cemas 2025 bukan sahaja memperkaya pengetahuan peserta, malah meniup semangat kesediaan bertindak, kepedulian sesama insan serta komitmen terhadap keselamatan bersama. Program ini sekali lagi membuktikan bahawa persediaan rapi dan pengetahuan yang tepat adalah kunci utama dalam menghadapi sebarang kecemasan.

Skip to content