Program AGROPRENEUR 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Felda Bukit Ramun dan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam lima komponen utama pertanian moden: penanaman cendawan, pembuatan tapai, penyemaian cili, penternakan madu kelulut dan ternakan ikan kelah pada 16 November 2025. Setiap aktiviti dikendalikan oleh pengusaha tempatan berpengalaman, membolehkan pelajar mempelajari proses sebenar di lapangan.
Program ini bertujuan memperkenalkan peluang keusahawanan agro berasaskan kemahiran praktikal serta membangunkan minat pelajar dalam sektor makanan dan pertanian lestari. Ia juga membantu pelajar memahami potensi pendapatan dalam industri agro melalui teknik moden, inovasi dan pengurusan sistematik.
Sebagai ilmu tambahan, program ini turut menekankan hubungan rapat antara TVET dan pertanian. TVET bukan hanya melahirkan tenaga mahir teknikal, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan agro-teknologi, penghasilan makanan, pemprosesan, ternakan serta keusahawanan yang bernilai tinggi. Pendedahan ini membuktikan bahawa kemahiran TVET mampu diaplikasikan secara terus dalam sektor pertanian moden yang semakin berkembang.
Di akhir program, pelajar turut dibawa melawat Kota Johor Lama sebagai pengisian tambahan ilmu sejarah dan warisan negeri.
