07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Gopeng, 19 – 21 November 2025: Seramai 40 orang pegawai dan kakitangan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai telah menyertai Program UnityWorks: Mengikat Sinergi, Menjana Prestasi (Team Building) Tahun 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Murni Camp, Gopeng, Perak. Program ini diketuai oleh YBrs. Ts. Dr. Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai, yang turut bersama peserta dalam menjayakan semua aktiviti yang dirancang.

Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh semangat kerja berpasukan, memantapkan hubungan interpersonal serta memastikan setiap warga kerja memahami peranan masing-masing dalam membentuk sinergi organisasi. Melalui pelbagai aktiviti kolaboratif, peserta diberi ruang untuk membina kepercayaan, meningkatkan komunikasi, dan menghayati kepentingan kerjasama bagi mencapai matlamat bersama.

Sepanjang tiga hari penganjuran, para peserta telah mengikuti beberapa aktiviti termasuk:

  • Flying Fox, yang menguji keberanian dan kepercayaan dalam pasukan;
  • Ceramah “Menjulang Integriti, Menjana Prestasi” oleh Cikgu Kusairi bin Musa, yang menekankan nilai integriti sebagai asas kepada prestasi cemerlang;
  • Qiamullail, sebagai pengisian rohani untuk membentuk kekuatan dalaman;
  • Caving Gua Tempurung (Level 3) yang memerlukan kerjasama berpasukan dalam mengharungi laluan mencabar;
  • River Tubing, aktiviti reakreasi santai namun memerlukan koordinasi dan sokongan rakan pasukan.

Dalam majlis penutup, YBrs. Tuan Pengarah telah menyampaikan amanat yang menekankan kepentingan sinergi dalam organisasi. Beliau menjelaskan bahawa sinergi bukan hanya tentang bekerja bersama-sama, tetapi bagaimana setiap individu menyumbang kekuatan unik mereka untuk menghasilkan impak yang lebih besar kepada organisasi. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen, disiplin dan kesungguhan semua peserta dalam menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, Program UnityWorks 2025 telah berjaya membina kesepaduan dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan warga kerja. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memperkukuh budaya kerja yang lebih sinergistik dan produktif. Program ini diyakini dapat memberi lonjakan semangat baharu dalam usaha memantapkan prestasi organisasi menjelang tahun 2026.

Skip to content