Program Reconnect Visit telah diadakan pada 20 November 2025 bertempat di ADTEC JTM Kampus PG bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sekretariat Sesi 2/2025, dengan kehadiran istimewa alumni ADTEC iaitu Jemison Roy, bekas pelajar MIOG Sesi 2021 serta mantan MPP yang pernah berkhidmat cemerlang semasa tempoh pengajiannya.
Dalam sesi tersebut, Jemison Roy berkongsi pengalaman beliau menguruskan program, membina jaringan rakan pelbagai kaum serta membentuk keyakinan diri melalui aktiviti kepimpinan pelajar. Beliau dikenali sebagai alumni yang sangat berketrampilan, mudah didekati, dan sentiasa menunjukkan disiplin kerja yang tinggi.
Semasa berada di ADTEC, beliau banyak membantu institut dalam pelbagai gerak kerja MPP termasuk penganjuran program pelajar, kebajikan, serta aktiviti kerohanian. Walaupun beliau beragama Kristian dan berketurunan India, namun keperibadiannya yang matang menjadikan beliau tidak kekok bergaul bersama rakan-rakan berbilang bangsa dan agama. Beliau juga aktif menyokong program-program yang dijalankan di Surau Al-Mawaddah, mencerminkan semangat perpaduan dan toleransi yang tinggi.
Kehadiran beliau dalam Reconnect Visit ini memberi inspirasi kepada barisan MPP dan Sekretariat Sesi 2/2025 berkaitan nilai kepimpinan, semangat kerja berpasukan serta pentingnya membina hubungan baik sepanjang tempoh pengajian. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan bagi mengukuhkan hubungan alumni dan pelajar serta menyuntik motivasi kepada kepimpinan pelajar generasi seterusnya.
