Putrajaya, 13 November 2025 – ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan apabila salah seorang tenaga pengajarnya, En Mohamad Ariff Afdlin bin Faizan daripada Jabatan Akademik dan Pembangunan Insan telah berjaya membentangkan kajian ilmiah di Seminar Wahyu Asas Tamadun 2025 (SWAT X) peringkat antarabangsa yang berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada 12 hingga 13 November 2025.
Seminar berprestij anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini bertemakan “Maqasid al-Quran dan Visi Madani: Matlamat Luhur bagi Kesejahteraan Rantau dan Kesatuan Global”, menghimpunkan para sarjana, penyelidik serta pakar dalam pelbagai bidang bagi membincangkan isu-isu berkaitan wahyu, sains dan tamadun kontemporari.
Dalam persidangan tersebut, En Mohamad Ariff telah membentangkan kertas kerja bertajuk:
“Konsep ‘Anzalna al-Hadid’: Satu Kajian Kefahaman Pelajar Teknologi Kimpalan terhadap Perkaitan antara Wahyu dan Penemuan Astrofizik Moden di (ADTEC) JTM Kampus Pasir Gudang.”
Kajian ini memberi tumpuan kepada hubungan antara ayat al-Quran mengenai besi (al-Hadid) dan penemuan dalam astrofizik moden, di samping menilai tahap kefahaman pelajar teknologi kimpalan terhadap integrasi antara ilmu wahyu dan sains. Penyertaan ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh reputasi ADTEC sebagai institusi teknikal yang menyokong penerokaan ilmu berteraskan al-Quran dan sains moden.
Kertas kerja tersebut telah diterima secara rasmi oleh pihak penganjur dengan Paper ID: SWAT 2025: 028-226, menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha penyelidikan yang dijalankan.
Penyertaan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dalam seminar ini membuktikan komitmen institusi terhadap pembangunan ilmu merentas disiplin serta usaha melahirkan tenaga pengajar dan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan berwawasan selagi dengan panduan ilmu wahyu iaitu Al-Quran.
