Pasir Gudang, 23 November 2025 – Kursus Cross Skilling Asas Pendawaian Elektrik Satu Fasa telah berjaya dianjurkan pada 22 hingga 23 November 2025 bertempat di Bengkel Teknologi Elektrik, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Kursus ini disertai oleh pelajar dari Bengkel Teknologi Instrumen Perindustrian sebagai usaha memperkukuh pengetahuan teknikal serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang berkaitan.
Kursus ini telah dikendalikan oleh En. Azhari bin Mohamad, tenaga pengajar berpengalaman dari Bengkel Teknologi Elektrik. Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta diberikan pendedahan menyeluruh merangkumi teori dan latihan amali berkaitan asas pendawaian elektrik satu fasa. Modul pembelajaran yang disampaikan merangkumi:
- Pengenalan kepada asas sistem pendawaian satu fasa
- Pengenalan kepada papan agihan satu fasa
- Pendawaian kawalan suis sehala, dua hala dan suis pertengahan
- Pendawaian Litar Gelang dan Litar Jejari
Penganjuran kursus ini bertujuan memberi kemahiran silang (cross skilling) kepada para pelajar agar lebih bersedia menghadapi keperluan industri, khususnya dalam bidang penyenggaraan dan pemasangan elektrik. Melalui kombinasi pembelajaran teori dan praktikal, peserta berpeluang menguasai teknik pendawaian asas yang selamat dan mengikut piawaian Suruhanjaya Tenaga.
Secara keseluruhan, program ini telah mencapai objektif penganjurannya dan mendapat penyertaan aktif daripada para pelajar. Diharapkan kursus seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pembangunan kemahiran teknikal yang berterusan.
