21 – 23 November 2025 | Nurjannah Camp Eco Resort, Pekan Nenas, Johor – Kem Asas Kebombaan telah menghimpunkan seramai 40 pelajar daripada Kursus Teknologi Pembuatan Pemesinan, Teknologi Pembuatan Perkakasan dan Teknologi Automotif. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal tentang elemen asas kebombaan, pengurusan kecemasan serta pembentukan sahsiah melalui aktiviti fizikal dan kerjasama berkumpulan. Kem ini dikendalikan oleh dua orang Kem Komandan berpengalaman, iaitu Encik Mohd Izzat Izzanuddin Bin Latahang, Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, serta Encik Saipul Bahri dari Nurjannah Camp & Eco Resort. Kehadiran pegawai-pegawai pengiring—Cik Siti Suraya Hani binti Mohd Juar, En Muhammad Ridzuan bin Kasnaini, Pn Harmaninda binti Haron, En Mohamad Nazreen bin Mohd Kamal, En Mohammad Ariff Afdlin bin Faizan dan Pn Marlina binti Easa—turut memastikan perjalanan program sentiasa selamat, tersusun dan terarah.
Sepanjang tiga hari penganjuran, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal yang dirancang untuk menguji kekuatan mental, ketahanan fizikal dan semangat setiakawan. Aktiviti obstacle course menjadi antara cabaran utama, di mana peserta perlu melalui halangan seperti merangkak di dalam kawasan berlumpur, meniti balak dan keseimbangan di laluan sempit. Aktiviti ini bukan sahaja memerlukan kekuatan dan fokus, tetapi juga sokongan rakan-rakan bagi memastikan semua peserta berjaya melepasi setiap halangan. Pada waktu malam pula, peserta mengikuti night walk yang menguji keberanian dan kepekaan mereka terhadap persekitaran. Sepanjang melalui laluan hutan malam, para peserta belajar mendengar arahan dengan teliti serta mengaplikasikan prinsip keselamatan semasa bergerak dalam keadaan gelap dan sunyi.
Aktiviti hiking pula membawa peserta menjelajahi laluan hutan sekitar resort sambil didedahkan kepada elemen asas navigasi dan pengurusan risiko persekitaran. Melalui aktiviti ini, peserta dapat memahami kepentingan persediaan fizikal, penggunaan pakaian dan peralatan yang betul serta cara bergerak dalam kumpulan secara selamat. Selain itu, sesi Asas Menyelamat dalam Hutan turut menjadi tumpuan apabila para peserta diajar teknik asas seperti cara memberikan bantuan awal, menggunakan peralatan survival ringkas, serta langkah-langkah menyelamat mangsa dalam situasi kecemasan di kawasan terpencil. Latihan ini memberi pengalaman praktikal yang berguna serta meningkatkan keyakinan peserta dalam berhadapan dengan situasi luar jangka.
Bagi menceriakan suasana kem, pertandingan tarik tali dan mini golf turut dianjurkan sebagai aktiviti berbentuk rekreasi kompetitif bagi membantu membina hubungan yang lebih rapat antara peserta dari kursus yang berbeza serta menyemai nilai kesukanan dalam suasana yang menyeronokkan.
Secara keseluruhannya, Kem Asas Kebombaan ini berjaya mencapai objektifnya dalam membentuk pelajar yang lebih berdisiplin, berdaya tahan, peka terhadap keselamatan dan mampu bekerjasama dalam pasukan. Pengalaman yang diperoleh melalui aktiviti sepanjang kem bukan sahaja memperkaya pengetahuan asas kebombaan, tetapi turut menjadi kenangan bermakna yang dapat memupuk keyakinan diri serta semangat kepimpinan dalam kalangan peserta. Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pembangunan sahsiah dan kemahiran pelajar secara holistik.
