07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 22 November 2025 – Ahli Sukarelawan Southern Volunteer (SV) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menyertai Program Khidmat Masyarakat di Rumah Halo Prihatin Anak Yatim & Asnaf Johor, Taman Bukit Dahlia. Program ini dijalankan bagi menyokong usaha murni pihak rumah kebajikan dalam menyediakan persekitaran yang lebih selesa, ceria dan selamat untuk anak-anak yatim serta golongan asnaf yang tinggal di situ.

Program bermula sekitar jam 9.00 pagi dan disambut oleh penyelaras Rumah Halo Prihatin, Encik Mohd Hairulazrin Bin Johari, bersama Encik Mohd Fikri Farhan selaku wakil rasmi HQ Halo Telco serta warga rumah tersebut. Peserta program diberi taklimat keselamatan dan pembahagian tugasan sebelum aktiviti bermula.

Sepanjang program, para pelajar melaksanakan beberapa kerja penyelenggaraan utama, antaranya:

1. Mengecat pagar rumah
Pelajar membersihkan dan mengecat semula keseluruhan pagar hadapan premis bagi memberi wajah baharu yang lebih ceria, menarik dan bersih.

2. Mengecat dinding hadapan rumah
Dinding utama di bahagian hadapan rumah turut dibaik pulih dan dicat semula, menjadikan ruang tampak lebih kemas dan berseri.

3. Memasang penutup ruang (partition / cover)
Beberapa ruang terbuka dan kawasan yang memerlukan perlindungan dipasang penutup baharu untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan penghuni.

4. Memasang mentol lampu
Kerja-kerja pemasangan mentol lampu baharu dilakukan di beberapa lokasi bagi memastikan pencahayaan rumah lebih terang dan selamat, terutama pada waktu malam.

Menurut penyelaras Rumah Halo Prihatin, program ini sangat membantu meringankan tugas penyelenggaraan di rumah kebajikan dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan penghuni.

Kerjasama ini bukan sahaja memantapkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat, malah membuka ruang kepada pelajar untuk memupuk sifat empati, tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan. Program tamat sekitar jam 5.00 petang dan diakhiri dengan sesi fotografi serta ucapan penghargaan kepada semua sukarelawan yang terlibat.

Skip to content