Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) adalah institusi latihan vokasional (TVET) di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM). Manakala JTM di bawah Kementerian Sumber Manusia, Malaysia. Sejarah penubuhan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia ini telah bermula semenjak tahun 1964 lagi dengan penubuhan ILP Kuala Lumpur yang kini dikenali dengan nama ADTEC JTM Kampus Kuala Lumpur.
Seterusnya pada tahun 1982, ILP Pasir Gudang atau nama barunya Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Pasir Gudang telah dibina dengan kedudukan kira-kira 35 km dari Bandaraya Johor Bahru dan 5 km dari Pusat Bandar Pasir Gudang. ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang adalah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia ke 3 di Malaysia dan pertama di Zon Selatan ini berkeluasan 20 ekar. Institut ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Mak Hon Kam (Menteri Buruh) pada 11 Mei 1985 dan mula melatih serta mengeluarkan tenaga kerja mahir sejak 1982 lagi.
Antara kursus-kursus yang telah dijalankan pada awal operasinya adalah Mekanik Am, Pemesinan Am, Kimpalan Arka & Gas, Struktur Keluli, Mekanik Kenderaan Motor, Juruelektrik, Paip & Sanitari, Kayu & Tanggam dan Batu Bata. Seramai 80 orang pelajar lepasan institut ini ketika itu telah berjaya menamatkan latihan secara sepenuh masa pada keluaran yang pertama.
Bilangan pelajar terus meningkat dan pada tahun 1984, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang atau ketika itu dikenali dengan nama ILP Pasir Gudang mula menawarkan latihan separuh masa disamping latihan sepenuh masa. Sehingga kini ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah berjaya menjadi institusi latihan pilihan dengan 12 kursus pelbagai bidang Kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik, Elektronik dan Pengeluaran. ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang juga telah melatih lebih 50 000 tenaga kerja mahir pelbagai bidang dan sentiasa relevan dengan keperluan industri. Usaha ini dipergiat lagi dengan penambahan kampus baru di Taman Teknologi Senai, Johor.