Bahagian Teknologi Elektrik, ILP Pasir Gudang telah bekerjasama dengan UTM, Skudai dalam menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat bagi pemasangan Solar PV di perkampungan orang asli di Tewowoh, Mersing dan Kampung Tanjung Surat Kota Tinggi.
Pada 23 Oktober 2021 yang lalu, dua orang pengajar Teknologi Elektrik, En. Hasri Aly Imran dan En. Wan Mahmudul Hasan bersama pasukan UTM telah membuat lawatan tapak ke Kg Tanjung Surat, Kota Tinggi. Tujuan lawatan pertama adalah untuk memberi pendedahan kepada penduduk berkaitan pemasangan dan penggunaan solar.
Bertolak dari ILPPG jam 7.00 pagi, dan tiba di Jeti Tanjung Surat pada pukul 8.30 pagi. Kemudian menaiki bot penduduk ke tapak lawatan. Terdapat 13 buah rumah yang telah dilawat bagi pemasangan pendawaian dan sistem solar. Lawatan ini berjalan dengan lancar dan penduduk Tanjung Surat memberi kerjasama dalam lawatan pemindahan ilmu tersebut. Lawatan ke-2 dijangka pada 19 & 20 November 2021 untuk kerja-kerja pemasangan papan agihan (DB Board) dan pendawaian rumah.
Pada 27 & 28 Oktober 2021, seramai 10 orang pelajar semester akhir (Semester 4) Teknologi Elektrik bersama 2 orang pengajar telah membantu menyediakan AC dan DB Board di UTM, Skudai. Sebanyak 32 buah papan agihan AC dan DC telah siap disediakan untuk dipasang di Kampung Tanjung Surat dan juga di Kampung Tewowoh. Selain itu, pelajar-pelajar juga telah diberi pendedahan kepada kemahiran berkaitan dengan Sistem Solar oleh pensyarah UTM.