ILP Pasir Gudang telah menganjurkan kursus jangka pendek bagi menjayakan Program Inisiatif 100 hari YB Menteri Sumber Manusia yang telah diadakan pada 8 hingga 10 November 2021. Bengkel Teknologi Elektrik telah diberi kepercayaan untuk menjalankan kursus tersebut. Seramai 10 orang peserta yang terpilih terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
Kursus kemahiran selama 3 hari yang dijalankan secara bersemuka ini memfokuskan kepada Modul Asas Pendawaian dan Penyelenggaraan Elektrik (1 Fasa). Di samping itu juga para peserta kursus didedahkan dengan Modul Asas Keusahawanan.
Peserta diajar bagaimana cara mengenal simbol, melukis litar, memasang papan agihan, membuat pendawaian, memasang perkakasan, membuat pengujian dan juga asas penyelenggaraan seperti mengenalpasti punca kerosakan atau ketidakfungsian litar lampu dan kuasa.
Peserta sangat teruja dengan kemahiran baru yang dipelajari, dan menunjukkan rasa minat yang sangat mendalam terutama semasa menjalankan latihan secara amali. Para pengajar juga amat bersemangat berkongsi kepakaran dan ilmu kepada peserta.
Secara keseluruhannya kursus ini telah disempurnakan dengan jayanya oleh para peserta. Semua peserta dianugerahkan dengan Sijil Peningkatan Kemahiran yang dikeluarkan oleh Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang.